2018年8月17日星期五

UEC: Semua harus duduk berbincang


2018/08/16 Sinar Harian www.sinarharian.com.my

~~ Wong Shu Qi


MEMULAKAN kerjaya dalam arena politik sebagai Adun Senai, Wong Shu Qi kini beralih ke Parlimen Kluang. Beliau yang juga Setiausaha Publisiti DAP baru berusia 35 tahun.

1. Apa pendapat YB, adakah subjek Sejarah perlu dimasukkan untuk mengiktiraf Sijil Pendidikan Bersepadu (UEC)?

Saya rasa beberapa pihak khasnya penyokong UEC dan juga orang yang mungkin buat bantahan perlu duduk bersama untuk perbincangan dan faham kenapa mereka ada pandangan sebegitu.

Sebagai seorang pemegang sijil UEC, apa sejarah yang saya belajar, betul-betul ikut silibus negara dan apa yang kita belajar sebenarnya lebih daripada silibus yang ditentukan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Tapi masalahnya saya rasa sekarang bukan masalah teknik, silibus namun, masalahnya lebih kepada persefahaman antara satu komuniti dengan satu komuniti lain.

Jalan terbaik bagi menamatkan 'perang' UEC ini ialah lebih baik kita semua pihak duduk bersama berunding dan membuka hati menerima apa-apa pandangan yang akan dibentangkan oleh pihak lain.

Kita ini sudah berada dalam Malaysia Baharu, dah boleh bertolak ansur, boleh berunding.

Tidak usah sekadar tukar pandangan dalam media sahaja, tetapi lebih baik kita duduk bersama satu meja bulat untuk dengar apa pandangan pihak lain.

2. Pembaharuan yang akan dibawa di Parlimen?

Bagi saya untuk memperkasakan peranan ahli Parlimen, perkara yang paling penting ialah ada jawatankuasa dasar-dasar untuk berbincang dan meneliti apa projek yang akan dilancarkan dan juga bajet dibentangkan oleh kerajaan.

3. Apa perasaan YB diangkat sebagai Ahli Parlimen Kluang?

Saya rasa amat bersyukur, ini penggal kedua saya sebagai wakil rakyat, penggal pertama saya sebagai Adun di Johor. Kecenderungan utama saya ialah bidang pengangkutan dan kerja raya.

(Sinar Harian)